Langkah 050 : Produk Yang Akan Saya Iklankan! (Intro)

Bismillah.
Subhanallah. Alhamdulillah. Allahuakbar!
Tak sangka. Perjalanan yang sukar kini, telah menemukan hikmahnya. Perjalanan yang mudah juga, kini telah menemukan hikmahnya. Allahu Allah.
Hari ini tanggal 20/11/2011. Tarikh yang cantik sekali, juga bersejarah. Alah, kalau dulu orang cakap fasal bertunang, saya tak ambil endah pun. Kerana dalam fasa itu, pasangan hanya berada dalam ikatan khitbah dan belum sah hubungannya kerana belum akad nikah.
Maka dengan prinsip yang ada, saya telah memilih untuk membuat majlis kecil-kecilan, tetapi masya Allah, punya semangat keluarga kedua belah pihak, lebih 20 kereta mari.
Saya, bersyukur dan gembira. Kalau ditanya bagaimana perasaan saya, saya akan jawab, saya sudah berada di awan.
Angau? Heh, belum lagi.
Kegembiraan saya ibarat kepulan awan yang cantik di udara. Mengapa?
Luasnya awan jika dilihat dari bumi, kerdilnya awan jika dilihat dari angkasa yang luas. Perasaan bahagia saya seakan menjulang tinggi ke langit, tapi kebahagiaan itu saya kawal sampai takat awan. Cinta pertama untuk Allah, kedua untuk Rasulnya, ketiga untuk Umi saya. Tolong ingatkan saya andai saya lupa.
Kerana saya tahu, akan takdir Allah itu belum pasti dan cantik sekali. Semoga bila saya gembira, saya melayan kegembiraan yang sederhana. Semoga bila saya sedih, saya melayan kesedihan dengan kadar sederhana. Semoga bila saya marah, saya berpada-pada. Semoga bila saya geli hati, saya pandai mencari noktah untuk berhenti ketawa. Semoga kita semua dapat menjaga hati menuju ke arah kesederhanaan itu insya Allah amiin!
ANAK KECIL MENJADI SAKSI
“Ha… Kak Azah nak kawin dengan ammu A***** eh…?”, tanya Fateh.
“Hey, mana tahu?”
Tiga beradik tu menggelakkan saya. Tengah korek gambar dalam phone
“Main game jela. Jangan tengok gambar”, jawab saya.
“La… Fateh kenal ke ammu A*****?”, tanya ibu mereka dan juga naqibah saya
“Mestilah kenal!!”
“Ha, kalau kenal sangat, cerita la sikit macam mana orangnya??”, cabar Ustazah Wan, naqibah saya tu.
Mereka terkekeh-kekeh gelak sambil menunggu pesanan nasi goreng sampai. Saya cuba merampas telefon dari Zubair, adik Fateh.
“Dia hensem…”, jawab Fateh.
“Lagi?”, tanya Kak Wan.
“Kacak…”
“Ish. Tu sama je.. Tak nak yang tu. Nak yang lain takde ke?”, celah saya.
“Dia selalu pergi masjid… Tak pernah tinggal qiam, tak macam abi. Abi selalu ponteng”
Kami tertawa seketika, bicara anak kecil laju saja. Saya perasan kak Wan merenung, menunggu reaksi saya. Muka terus dialihkan, tunduk malu, buat tak tahu.
Alhamdulillah. Moga pilihan yang tepat, bisik hati saya.
Semasa tengah seronok makan pada hari pertunangan saya, tiba-tiba ada orang menyapa.
“Apa perasaan bila dah jadi tunang orang?”, tanya jiran.
“Eh, ler. Macam biasa saja. Entah apa beza”
Mungkin, mungkin kerana perkenalan yang belum pernah ada komunikasi sorok-sorok, belum pernah bercinta sebab selama ni pakai orang tengah. Mungkin. Fikir saya.
“Haha. Biasalah tu. Kak dulu hari bertunang baru dengar suara bakal tunang. Baru nampak muka. Perasaan tu tak timbul lagi”
“Tapi hm… Kalau dah kawin nanti insya Allah bercinta tepi kolam ikan nanti bukan main bisik-bisik! Hehe”, sambungnya.
Erm, cop. Apa yang ada dalam fikiran anda? Almaklumlah, zaman sekarang, tak ramai pasangan yang mahu berkahwin, sanggup meneruskan sistem baitul muslim atau menggunakan khidmat orang tengah, kan? Ya, tak ramai yang yakin dengan sistem ini. Malah saya juga mendapat tentangan hebat dalam beberapa tempoh.
Pelik kan? Perkara yang sunnah, kita suka melambatkan, sedangkan kita tahu kita mampu. Perkara yang tak sunnah, yang boleh membawa kepada dosa, kita utamakan, sekadar untuk menjadi alasan. Mudah saja kita beranggapan bercinta dalam alam maya tu dah kira cinta sejati, taaruf sendiri-sendiri tu dah kira kolektif, dah menyeluruh, dah cukup meyakinkan. Kita cepat ragu-ragu kalau orang tengah kita berlaku khianat sedangkan kita belum cuba dan belum tahu. Kita mahu buat pilihan sendiri dengan cara tersendiri, malah merasakan bahawa kita sahaja yang benar.
Ups. Maka dengan ini, saya mahu iklankan sesuatu. Bukan sebuah produk, tetapi sebuah pengalaman yang mampu membantu kita mencari jalan terbaik untuk mengurus lamaran, membuat pilihan dan menjaga batas pergaulan. Semoga ia dapat membantu memudahkan urusan mereka yang mempunyai hajat untuk membina ‘masjid’ atau rumah tangga insya Allah.
Semoga prinsip “Couple is a joke, nikah is serious” dan surah An-Nur ayat 30-31 tu kembali diaplikasikan.
Wallahua’lam.
Moga Allah redha.
-Bersambung-
Yang Benar, bukan Fatimah Syarha. Hehe.



No trackbacks yet.