Langkah 005 : Cinta Antara Bunga

Wahai sekalian manusia, bertakwalah kepada Tuhan-mu yang telah menciptakan kamu dari seorang diri, dan dari padanya Allah menciptakan isterinya; dan dari pada keduanya Allah memperkembang biakkan laki-laki dan perempuan yang banyak. Dan bertakwalah kepada Allah yang dengan (mempergunakan) nama-Nya kamu saling meminta satu sama lain, dan (peliharalah) hubungan silaturrahim. Sesungguhnya Allah selalu menjaga dan mengawasi kamu.(An-Nisa’ : 1)

 
 

 

 

 

Cinta Antara Bunga

 

CINTA ANTARA JARI

“Jalan lah dengan kita. Kita nak pergi main dengan Doraemon! Awak tak percaya ke Doraemon tu ada dekat Malaysia. Meh, kita tunjukkan.”, kata jari telunjuk dan hantu tangan kanan yang sedang berdiri kepada jari telunjuk dan hantu tangan kiri.

“Doraemon jumpa awak? Dia kasi kipas kepala tak? Jom terbang!”

“Dia kasi pinjam kejap. Jom kita terbang sama-sama!”

“Weee!”

Imaginasi indah dahulu kala. Sunyi. Tidak berteman. Teman hanyalah jari. Dialog dari satu suara.

Dulu, watak cuma berduet. Beberapa tahun kemudian, alhamdulillah sudah berempat. Kini, imaginasi bercakap dengan tangan sudah ada sepuluh watak, suara sudah banyak, cuma hobi bermain dengan jari tidak berpengaruh lagi. Kuno. Masing-masing sudah dewasa. Yang paling kecil pun sudah pandai darab bahagi.

Dulu, sepi. Kini, bising sampai ke pagi.

Alhamdulillah. Mereka lah teman yang mendewasakan!

MENGHARGAI

Kekadang bila sudah berteman, kita terasa nak berseorangan.

Tak mengapa, itu lumrah. Adat bersosial. Bukan mudah berhablum minannas [1].

Ada yang dianugerah oleh Allah adik-adik yang ramai, sehingga terpaksa gosok baju sekolah mereka sampai lewat malam, buatkan botol susu adik, dan teman mereka ke tandas. Ada pula yang dikurniakan seorang kakak yang menyakitkan hati, abang yang suka membuli dan pelbagai lagi karenah yang membuatkan kita penat melayan… Tapi janganlah sampai membenci.

“Benci ada kakak. Benci ada abang. Benci ada adik.”

Astaghfirullah… Anggaplah ia suatu ujian yang mampu mendewasakan kita. Menjadikan kita tabah, rajin dan bersedia menempuh ujian.

Hargai nikmat Allah. Sepatutnya kita berkasih sayang. Sayang, kasih dan cinta semua kerana Allah swt. Seperti adegan Azzam membalas surat cinta kepada adiknya dalam filem Ketika Cinta Bertasbih.. Wah!

Nostalgia kehidupan memang wujud dalam novel Habiburrahman.

Saya pun banyak kali dapat surat cinta dari adik-adik saya. Terharu dan terkenang sehingga ke hari tua insya-Allah. Alhamdulillah, adik-adik saya romantik belaka. Pernah selit surat cinta dalam telefon bimbit. Kebetulan pula saya dapat baca surat itu di Lenggong, Perak ketika telefon bimbit saya terjatuh dan terbuka housingnya. Masya-Allah, sungguh sayang mereka!

TEMAN TERKARIB

Saidina Umar Al-Khatab pernah berkata,

“Tidak ada suatu pun yang paling berharga yang dimiliki oleh seseorang insan selepas nikmat Islam selain teman yang soleh. Apabila kamu dapati kewujudan kasih sayang padanya, maka peganglah ia dengan sungguh-sungguh”

Ramai yang menyebut tentang pengalaman bersama rakan di sekolah. Ramai yang menceritakan tentang pengalaman bercuti dan sebagainya. Ramai juga yang asyik berlegar di lingkungan kisah cinta antara ajnabi.

Ya, pengalaman memang indah.

“Hidup tak selalunya indah tapi yang indah itu tetap hidup dalam kenangan.”

Pengalaman bersama adik-beradik juga indah. Indah dengan kisah pahit dan manis. Nostalgia yang kadang-kadang ‘nostalgila’. Tapi susah kita nak dengari kisah pengalaman bersama adik beradik seperti yang diceritakan dalam drama bersiri Nur Kasih.

Hakikatnya, kita hidup dan membesar bersama mereka. Dikandungkan dalam rahim yang sama, terikat dengan pertalian darah dan mahram yang paling akrab. Malah, merekalah wali kita. Mereka lebih mengenali diri dan sikap kita. Mereka lah teman terakrab kita yang hidup lebih lama bersama kita berbanding rakan-rakan di sekolah.

LUKA DI KULIT AKAN SEMBUH JUGA

Apabila darah memancut dari permukaan kulit, proses thrombosis segera mengambil peranan membaluti permukaan luka yang terdedah. Membina selaput kudis. Kemudian, sel-sel kulit mula bercambah mencantumi kulit yang terbelah.

Luka luas mana pun, akan sembuh juga. Biiznillah.

Tapi jika tidak diubati, keadaannya menjadi sukar dan mengambil masa. Jika luka itu semakin luas dan tidak dijaga, lebih lambatlah ia sembuh malah boleh dijangkiti virus-virus atau kuman yang lain.

Gaduh pun berpada-pada lah. Jangan dikoyak rabakkan hubungan sehingga berparut hingga ke tua.

Kata orang, adik beradik itu bagaikan “air dicincang takkan putus”. Ya kah?

Dalam kondisi yang serba moden, adik beradik semakin jemu bergurau senda. Malah ramai yang tidak bertegur sapa. Kekadang alasannya, tidak sempat. Lebih suka menghadap komputer, dan bergelak tawa di hadapan teknologi. Banyak meluangkan masa bersama rakan dan suka berkurung di dalam bilik menjadi hamba kepada hiburan sehingga tidak sempat berhibur bersama keluarga.

Sedihnya melihat suasana keluarga begini.

Abangnya patut mengimami solat. Kakaknya patut membantu adik-adik menyiapkan kerja sekolah…

Kalau bergaduh dan tidak pernah berbaik-baik, ia ibarat suatu luka yang tidak akan sembuh. Memutuskan urat-urat saraf, malah mematikan abdomen yang lain.

Ibarat memutuskan jari dan tidak boleh dijahit kembali.

Akibatnya, air membeku macam ais, merekah, terpisah. Nauzubillah. Zaman sekarang, memang ramai juga yang telah berpisah talian kekeluargaan akibat pertengkaran. Bergaduh sehingga lari rumah, sepi dan menghilang.

Nauzubillah~

Jom! Rapati adik-beradik kita!

[1] Hablum minannas : Hubungan sesama manusia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s