Langkah 010 : Buang segala kotoran!

Isu dominan hari ini yang sepatutnya ditekankan dalam negara yang angan-angannya ingin mencapai era modenisasi tetapi isu keruntuhan akhlaknya semakin menjadi-jadi ialah persoalan akhlak. Katakan semuanya sibuk menyambut Maulidurrasul, tetapi lupa bahawa antara mesej yang disampaikan oleh baginda Nabi Muhammad s.a.w ialah akhlak yang terpuji.

“Innama bu’ithtu liutammimma makarimal akhlak”

“Innama bu’ithtu liutammimma solehal akhlak”

Rasulullah itu dilahirkan sebagai seorang manusia yang dipilih untuk menjadi pesuruh Allah disamping telah menjadi suri tauladan yang terbaik kepada manusia sehingga digelar Al-Amin kerana dirinya yang amanah. Belum lagi menyampaikan mesej Islam, iaitu “tiada tuhan melainkan Allah dan Muhammad itu pesuruh Allah”, baginda telah berjaya menyampaikan mesej pertama yang datang daripada diri baginda sendiri iaitu keindahan akhlak yang ditunjukkan oleh baginda.

“Alangkah seronoknya wanita jika semua lelaki di dunia ini betul-betul mencontohi sifat Rasulullah?”, kata Dr Harlina ketika dalam kursus Mars and Venus di UIAM Gombak.

KOTORNYA!

Hari ini tidak perlu belek surat khabar lagi, hanya menjenguk muka depan akhbar yang dijual di kedai mamak, sudah banyak berita tentang bayi dibakar, bayi dicampak, bayi terbunuh, bayi lemas dan segala-gala berita tentang pembuangan bayi yang semakin kronik dan tidak ada belas kasihan lagi.

Saya rimas. Rimas sungguh dengan berita buruk ini.

Bayangkan dalam seminggu dua saja, penuh halaman surat khabar dengan berita-berita tentang keruntuhan akhlak remaja mahupun yang dewasanya. Kanak-kanak juga tidak ketinggalan terlibat dalam kes pembunuhan kejam kerana terpengaruh dengan permainan-permainan yang berunsur kezaliman.

Lebih menyedihkan, baru-baru ini saya dapat tahu sepasang pengantin baru yang saya kenali telah selamat menyambut kelahiran anak luar nikah mereka. Masya-Allah! Tercekik tulang dibuatnya~

Sedangkan mengikut pandangan Syed Naquib al-Attas pernah menerangkan maksud tamadun ialah pencapaian tahap tatasusila yang tinggi dan kebudayaan luhur oleh sesebuah masyarakat. Adakah kita masyarakat bertamadun?

Persoalannnya pada hari ini, kita terlalu mengejar kekayaan dan kemodenan sehingga terlupa akan jati diri yang semakin runtuh. Akhlak jika tidak diperbaiki, hari demi hari akan menjadi seperti sungai yang tercemar. Tercemar dengan sampah sarap dan tidak mampu kembali jernih kecuali dengan adanya bantuan sistem penapis air yang begitu berkesan seperti osmosis songsang sehingga membolehkan kita menggunakan air yang telah ditapis sebagai air minuman.

Ingat, sungai yang tercemar boleh mencemarkan kejernihan air yang lainnya jika ia bercampur.

Sungguhpun begitu, banyak lagi perkara yang perlu diusahakan bagi menapis segala kekotoran yang bakal mencemar air yang sedang mengalir. Bak kata rakan saya, “Basuh. Buang segala kotoran dan segala yang boleh menambahkan kekotoran”. Tapi ada pula sesetengah golongan mencelah, “Nak pulihkan? Mimpi la~”

Kendatipun usaha yang terlalu sedikit daripada golongan minoriti yang berusaha menjadi agen pembersih,  ia bukanlah menjadi suatu perkara yang mustahil untuk dibersihkan jika kita semua berganding bahu untuk mendapatkan hidayah dan mencuci kembali air yang keruh hingga menjadi bersih!

Lagipun, Allah melihat usaha bukannya hasil.

MENGHAYATI SIRAH PERJUANGAN

Buat masa sekarang, kami (guru-guru ganti yang juga merupakan murid lepasan SPM) sedang menghabiskan penghayatan sejarah hidup Nabi Muhammad s.a.w secara lebih terperinci. Ya, kami rasa macam “Wah, banyaknya belum kita tahu tentang sirah nabi kita. Atau wah! Ini cerita yang pernah kita dengar masa kelas Sirah sekolah rendah dulu.. Hehe”

Lihat, ramai yang tidak dapat menghayati Islam kerana masih tidak mampu menghayati sirah-sirah Anbiya’ dan yang paling utamanya iaitu sirah perjuangan Nabi Muhammad s.a.w. yang mampu melunturkan keegoan setiap insan dengan menitiskan kristal-kristal jernih dari kelopak mata. Mana nak bercintanya kalau tak kenal, bukan?

HIBURAN YANG MENGABURI MATA HATI

Kita sekarang memang senang terpukau dengan hiburan sehinggakan niat mendaftar facebook untuk dakwah dan ukhuwwah juga sudah terseleweng sedikit demi sedikit akibat masa yang terlalu lama diluangkan sehingga menjadi suatu yang lagha kerana sedar atau tidak, ia turut melalaikan. Macam buat perangkap untuk diri sendiri. Inilah yang dikatakan sebagai agenda “ghazwul fikr” [1] yang mampu membawa perubahan besar kepada umat Islam dalam mematikan imunisasi kepada penyakit “Al-Wahnu” [2].

Tanggungjawab individu untuk mengubah nasib diri sendiri dan kewajiban ke atas semua umat Islam untuk melaksanakan amar maaruf nahi mungkar [3] sebelum sejarah kota Baghdad dijatuhkan tentera Mongol pimpinan Hulagu Khan berulang lagi. Apabila dipanggil untuk berjuang, apa yang terlintas di kotak fikiran umat Islam ialah “perjanjian damai” yang menawarkan pelbagai kemewahan kepada pihak musuh semata-mata untuk terus hidup kerana takutkan kematian dan terlalu cintakan dunia. Akhirnya, darah umat Islam membanjiri Istana Kota Baghdad dan kawasan sekitarnya.

Ingat pesan buku Sejarah tingkatan 4,

Usaha manusia untuk menyesuaikan kehidupan mereka dengan alam sekeliling telah menjadikan manusia lebih kreatif dan inovatif. Kreativiti dan inovasi manusia bergantung pada pencapaian pemikiran dan kekuatan rohaniah mereka. Oleh itu, proses pembentukan tamadun merupakan manifestasi kepada pencapaian manusia dalam kedua-dua aspek ini.

Ternyata, bukan kemajuan lahiriah sahaja yang perlu dikejar-kejarkan.

MEMBANTERAS ATAU MENDIDIK?

“Membanteras” maksiat akan menjadi suatu perkara yang amat sukar untuk diterima oleh masyarakat yang sedang sibuk berfoya-foya seperti yang digambarkan dalam novel Advencer Si Peniup Ney oleh Faisal Tehrani.

Jadi, apa kata kita “mendidik” bukannya “membanteras” seperti analogi secawan air sirap yang berwarna merah pekat, apabila dicampurkan dengan air suling boleh melunturkan warna kemerahannya dan akhirnya mampu menjadi jernih sejernih air suling.

Seperti yang sedang berlaku di Indonesia, para pelacur didedahkan dengan usrah bukannya agen penangkap basah yang tak habis-habis mengutip saman. Jika didenda beribu kali tetapi masih tidak faham, tiada fungsinya undang-undang tersebut. Bahkan boleh membawa fitnah, seperti undang-undang itu bertentangan dengan fitrah mereka.

Wallahua’lam.

[1] : Serangan pemikiran.      

[2] : Penyakit cintakan dunia dan takut akan kematian. [hadith]

[3] : Menyeru kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

One thought on “Langkah 010 : Buang segala kotoran!

  1. “Seperti yang sedang berlaku di Indonesia, para pelacur didedahkan dengan usrah bukannya agen penangkap basah yang tak habis-habis mengutip saman. Jika didenda beribu kali tetapi masih tidak faham, tiada fungsinya undang-undang tersebut.”

    Banyak yang ingin dikomen rasanya. Tapi part yang paling indah bahagian ini.

    Seringkali perkara ini menjadi pengajaran pada saya, bahawa banyaknya tindakan yang kita laksanakan hari ini membidik hukum dari mendidik dalam hal penyelesaian.

    Bukan dalam hal politik sahaja, tapi di segenap segi. Sedangkan yang berlaku sangat berulang-ulang, malah tidak ada penutupnya.

    Katakan seorang anak membuat kesilapan, dia dihukum kerana kesilapannya dengan dipotong duit belanja. Walhal bukankah lebih baik kalau anak tersebut diberikan bonus jika tidak melakukan kesilapan yang sama, ataupun diberikan pengiktirafan yang baik?

    Begitu juga di sekolah-sekolah. Buat silap, buang sekolah. Buang asrama. Selesaikah budak itu menjadi taat dan ‘dewasa’ ketika dia dibuang? Atau mampukah dia menemukan perubahan atas ‘buangan’ yang telah dilaksanakan sekolah?

    Malangnya, ini adalah tabiat yang biasa kita sering laksanakan, turun-temurun.

    Aduyai, alangkah baik jika kita mengambil pelajaran.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s