Langkah 017 : Nakbah Palestin

Salam.

Bismillah.

Bergetar-getar batu di atas tanah. Seakan-akan berkocak-kocak permukaan bumi apabila dihentak-hentak oleh segerombolan lembu yang  lari bertempiaran. Dari nun puncak bukit berbatu, sekumpulan dubuk yang dikenali sebagai hyenas seperti dalam cerita The Lion King turun dengan pantas mengejar lembu-lembu itu.

Seekor anak lembu bernama Koki lari sekuat hati. Ibunya turut membantu ketika anaknya tersungkur. Dia memastikan anaknya terus berlari tanpa putus asa.

Seekor lembu gemuk pula sudah letih berlari. Namanya Kiko. Dari barisan hadapan, dia semakin berundur dan langkahnya semakin perlahan. Kiko memang malas hendak berlari. Katanya, tak mengapalah, dia sudah serik berlari dan ingin mencari ‘jalan lain’ untuk menyelamatkan diri.

Kiko ternampak satu lorong kecil yang tidak dijejak lembu-lembu lain. Tanpa berfikir panjang, Kiko terus masuk ke dalam lorong itu meninggalkan rakan-rakannya dan ahli keluarganya untuk menyorok. Dia berehat di balik batu. 

Namun begitu, nasib Kiko malang kerana akhirnya si dubuk yang cekap mencari mangsanya berjaya mengesan si Kiko yang gemuk itu. Akhirnya, dia mati dilahap sekumpulan dubuk yang bengis.

Cerita agak basi tapi peristiwa yang sangat penting. Sudah lambat satu hari untuk dilaporkan. Tak mengapa. Tanggal 15 Mei, semalam ialah hari nakbah Palestin. Memperingati tanggal hitam bagi umat Islam seluruhnya.

Dalam kisah ini, pengajarannya ialah jika kita bersama-sama, kita takkan hilang ke mana. Jika kita memilih untuk berseorangan, kitalah mangsanya. Namun terbalik pula dengan sejarah bumi Palestin dan kita, rakyat Palestin bersama-sama berjuang. Perjuangan mereka tak ke mana. Mereka sentiasa berjuang. Yang kasihannya ialah kita. Memilih untuk berseorangan. Akhirnya, kitalah mangsa. Fikir-fikirkan.

[Saya tidak mengutamakan blog dalam hidup saya. Jadi, saya ada banyak kerja lain. 10 minit saya menulis entri ini tanpa berfikir panjang. Adakah bagus ceritanya? Adakah baik analoginya? Adakah lari pengajarannya? Haha. Jika tidak faham, boleh tanya. Saya tulis, anda komen dan ambil pengajaran. Wallahua’lam]

Kenyataan Ikhwan Muslimin Sempena Memperingati Ulang Tahun Nakbah Palestin Ke-62

SEDIKIT PENGENALAN telah disunting dari HarakahDaily.Net;

Tanggal hitam 15 Mei 1948

Pada tarikh ini, genaplah usia 60 tahun Palestin ditakluk, betapa malunya kita sebagai umat Islam hari dengan kelengkapan serba serbi peralatan persenjataan masih tidak terdaya membebaskan bumi Palestin, malah Masjid al-Aqsa juga dikuasai rejim Yahudi.

Kalau dilihat dari sudut logik akal manusia, negara Israel dilingkungi beberapa negara Arab yang kaya dengan senjata minyak seperti Arab Saudi, Kuwait, Iraq, Syria, Lubnan, Bahrain, Oman, Yaman dan sebagainya sepatutnya pada 1948, orang-orang Arab berjaya menghalang penubuhan negara haram itu, namun ia tidak berlaku.

Sebabnya, para pemimpin Arab hanya banyak menganjurkan persidangan menjaga kepentingan mereka daripada memikirkan keselamatan rakyat bangsa Palestin yang ditindas, dianiayai, dinafikan hak mereka sepanjang 60 tahun, iaitu satu jangka masa yang begitu lama mengatasi usia Malaysia merdeka (51 tahun).

Imam Syahid Hasan al-Banna pengasas Gerakan Ikhwanul Muslimin pernah mengemukakan pandangannya kepada Perdana Menteri Mesir pada masa itu, Noqrashi Basha agar membantu rakyat Palestin dengan menghantar pasukan tentera ke Palestin bagi menghadapi segala kemungkinan agar kuasa asing tidak bertapak di kawasan yang diduduki bangsa Arab, apatah lagi beragama Islam.

Pandangannya itu bukan mahu membangkitkan isu kebangsaan, malah kebimbangannya terhadap pengaruh bukan Islam akan masuk ke dalam negara-negara yang dihuni oleh orang Arab.

Noqrashi menolak pandangannya itu malah bertindak mengharamkan segala aktiviti gerakan Ikhwanul Muslimin. Imam Hasan tidak berputus asa dan mengerahkan unit pasukan jihad gerakan itu supaya pergi ke Palestin bertujuan untuk membantu rakyat negara itu, walau bagaimanapun tentera-tentera yang dihantar itu ada yang mati syahid dan ada yang sempat pulang semula ke Mesir dengan pelbagai kesusahan yang menanti mereka.

Kejatuhan Palestin di tangan Israel disifatkan oleh Imam Hasan sebagai satu kesilapan dan pengkhianatan besar ke atas rakyat Palestin yang beragama Islam.

Selang tidak berapa lama selepas kejatuhan Palestin, pada 12 Februari 1949, Imam Hasan ditembak mati secara misteri tanpa seorang pun yang tahu kejadian itu hingga ahli keluarganya juga tidak dapat mengesan di manakah jenazahnya di kuburkan hingga hari ini.

1948 dikenali sebagai tahun perang Arab-Israel

Perang Arab-Israel 1948, dikenali juga sebagai Perang Kemerdekaan Israel, adalah merupakan perang yang pertama di dalam satu siri peperangan antara negara Israel dan negara jiran Arabnya dalam konflik Arab-Israel.

Bagi orang Yahudi Israel, peperangan ini menandakan kejayaan penubuhan negara Israel, tetapi bagi orang-orang Arab Palestin, ia menandakan permulaan bagi peristiwa-peristiwa yang dirujuk daripada bahasa Arab sebagai ‘Al-Nakba’ yang bermaksud ‘malapetaka’, perkataan yang digunakan untuk menggambarkan pengusiran keluar beratus-ratus ribu penduduk Palestin tempatan dari negara Israel yang baru dibentuk, dan kemudiannya pelarangan pihak Israel kembali ke kampung halaman mereka.

Pada tahun 1947, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah mencadangkan memisahkan tanah Palestin kepada negara Yahudi dan negara Arab, satu rancangan yang ditolak oleh masyarakat Arab.

Mandat British terhadap Palestin sepatutnya berakhir pada 15 Mei 1948, tetapi kepemimpinan Yahudi, diketuai oleh bakal Perdana Menteri David Ben-Gurion, telah mengisytiharkan kemerdekaan pada 14 Mei.

Kemerdekaan Israel dengan cepatnya diiktiraf oleh Kesatuan Soviet, Amerika Syarikat, dan banyak negara lain.

Pada akhir Mei 1948, 6000 tentera Syria, 4500 Iraq, 6000 Transjordan, 1000 Lubnan dan 5000 Mesir telah melancarkan serangan terhadap negara Israel yang baru lahir.

Namun, mereka ditewaskan oleh Israel yang berjaya menawan hampir setengah wilayah yang diberikan oleh PBB kepada penduduk Arab serta Baitulmaqdis Barat.

Dalam perjanjian gencatan senjata, Semenanjung Gaza diserahkan kepada Mesir, manakala Tebing Barat diserahkan kepada Jordan, dan tanah mandat British terhadap Palestin dahulu yang lain menjadi Israel.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s