Langkah 033 : Judi Senyap

“Mereka bertanya kepadamu (wahai Muhammad) mengenai arak dan judi. Katakanlah: “Pada keduanya ada dosa besar dan ada pula beberapa manfaat bagi manusia, tetapi dosa keduanya lebih besar dari manfaatnya.” (Surah al-Baqarah: 219)

Semua beratur panjang, bayar RM5 seorang. Main lawan-lawan, baling-baling, kira-kira, teka-teka, kemudian semua orang tewas kecuali beberapa orang. Hadiah istimewa diberikan kepada beberapa orang itu sahaja. Semua lega, puas, penat, balik rumah, tidur lena.

Haila.

Apa kes?

Berat betul.

Kita tak fahami konsep judi itu sendiri. Yang kita tahu, judi hukumnya haram. Judi tu di pusat perjudian lah. Adeke judi style lain?

Kita pandang enteng pada syariah, lalu terlibat dengan dosa-dosa besar sebegini. Mungkin bagi yang memang bukan dari sekolah agama, dan tidak pernah tahu apa-apa, itu kes lain. Tapi bagi yang sudah berkopiah, sudah bertudung labuh, belajar syariah dan pendidikan quran sunnah, kan sayang kalau kita tertewas dengan hiburan sebegini?

Ada segelintir program yang besar, islamik, tapi masih berunsurkan perjudian. Main bola jaring pun boleh terlibat dengan dosa ini jika dipandang enteng pada pengurusan yuran dan hadiahnya.

Apa kes?

Artikel di bawah mungkin banyak membantu kita mengenalpasti bagaimana yang dikatakan sebagai berjudi itu sendiri. Dipetik daripada : http://www.mufti.gov.bn/irsyad/pelita/2007/bil261.pdf

Apa Dia Unsur Judi?

Islam mengharamkan segala bentuk perkara yang berunsurkan perjudian. Unsur judi itu ialah adanya pertaruhan, berdasarkan nasib semata-mata dan hanya sebahagian pihak sahaja yang mendapat keuntungan hasil pertaruhan itu.

1) Pertaruhan

Pertaruhan itu seperti wang dan lain-lain yang digunakan dalam perjudian. Jumhur ulama berpendapat bahawa unsur penting dalam al-maisir (perjudian) itu adalah pertaruhan. Pada pandangan mereka, adanya unsur pertaruhan ini merupakan ‘illah’ (sebab) bagi haramnya al-maisir tersebut. Oleh yang demikian, setiap permainan yang mengandungi unsur pertaruhan adalah al-maisir dan hukum melakukannya adalah haram.

2) Kemenangan Yang Ditentukan Oleh Nasib

Berjudi hanya bergantung pada nasib semata-mata. Allah Subhanahu wa Ta‘ala mengharamkan setiap hasil pencarian yang diperolehi oleh manusia berdasarkan nasib walaupun tujuannya untuk disumbangkan kepada orang-orang fakir dan miskin atau bagi tujuan kebajikan.

3) Adanya Pihak Yang Untung Dan Pihak Yang Rugi

Apa yang dipertaruhkan dalam satu-satu permainan judi itu hanya dapat dinikmati oleh pihak yang menang sahaja, manakala yang kalah tidak mendapat apa-apa melainkan hanya kerugian. Pihak yang menang mendapat keuntungan daripada kerugian pihak yang kalah. Gambaran seumpama ini dianggap sebagai memakan harta orang lain secara bathil dan ia jelas ditegah dalam Islam sebagaimana firman Allah Subhanahu wa Ta‘ala maksudnya :

“Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah, dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian dari harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).” (Surah al-Baqarah: 188)

 

Antara Contoh-Contoh Permainan Masa Kini Yang

Berunsurkan Judi

 

1) Penganjur mengadakan permainan kuiz yang dibukakan kepada para peserta melalui penghantaran sistem pesanan ringkas atau SMS. Sesiapa yang banyak menghantar atau mula-mula sekali meneka jawapan itu dengan tepat akan mendapat hadiah yang dijanjikan oleh pihak penganjur.

 

Permainan yang berbentuk kuiz melalui SMS ini amat berleluasa dan sambutan yang diberikan juga tidak kurang hebatnya. Banyak peserta yang membelanjakan sejumlah wang mereka untuk membayar caj penghantaran SMS dengan tujuan untuk memperolehi kemenangan.

Permainan ini dikategorikan judi kerana terdapat unsur-unsur perjudian yang terkandung di dalamnya, iaitu:

i. Pertaruhan daripada wang peserta yang dijadikan sumber hadiah bagi bakal pemenang.

ii. Pihak yang menang dalam peraduan kuiz ini mendapat untung daripada wang peserta-peserta lain, sedangkan pihak yang kalah akan mendapat kerugian kerana perlu membayar caj SMS yang digunakannya.

iii. Kemenangan berpihak kepada peserta adalah melalui nasib kerana pemilihan untuk menang adalah dari sudut-sudut tertentu seperti siapa yang terbanyak, terpantas dan sebagainya.

Melalui permainan ini, pihak penganjur mengumpul sejumlah besar wang daripada para peserta dengan berbagai cara, antaranya;

– Mengenakan caj perkhidmatan penghantaran SMS lebih tinggi daripada kadar biasa;

– Mengenakan bayaran bagi setiap SMS yang dikirim oleh penganjur kepada peserta;

– Mengenakan bayaran pendaftaran untuk memasuki peraduan melalui kredit peserta dan sebagainya.

Bayaran daripada peserta inilah yang sebahagiannya dijadikan hadiah yang ditawarkan atau dijanjikan penganjur kepada peserta yang bakal memenangi peraduan tersebut dan sebahagiannya menjadi keuntungan bagi penganjur.

Perlu diingat, sekalipun penghantaran SMS bagi permainan ini dikenakan dengan kadar caj biasa, namun sekiranya bayaran caj tersebut dimasukkan dalam nilai hadiah maka ia tetap dianggap perjudian.

2) Sebuah kumpulan ingin mengadakan satu perlawanan di mana setiap peserta diarahkan untuk menyediakan wang masing-masing dengan kadar tertentu. Di akhir permainan sesiapa yang menang akan memperolehi semua wang hasil kutipan daripada semua peserta tadi atau mendapat hadiah yang dibeli menggunakan wang kutipan tersebut. Maka perkara seumpama ini dianggap sebagai judi kerana terdapat unsur-unsur judi iaitu adanya pertaruhan dan hanya seorang sahaja atau sebahagian pihak sahaja mendapat keuntungan hasil pertaruhan, manakala yang sebahagian pula tidak mendapat apa-apa.

Walau bagaimanapun jika salah seorang daripada peserta menyediakan ganjaran untuk perlawanan tersebut, maka tidak ada unsur perjudian dalam pertandingan tersebut. Misalnya peserta yang menyediakan hadiah tersebut berkata: “Jika engkau mengalahkanku, maka bagimu ganjaran ini” atau “jika aku mengalahkanmu, engkau tidak perlu memberiku ganjaran apapun.”

Jika wang yang dikutip dari semua peserta bertujuan untuk kegunaan perlawanan tersebut seperti membeli minuman untuk para peserta, membayar pengadil atau hakim perlawanan dan yang seumpamanya selama mana ia tidak membabitkan ganjaran kepada peserta yang menjadi pemenang perlawanan, maka tidaklah ia dianggap judi.

Begitulah antara contoh perkara-perkara yang berunsurkan judi. Walaupun perlaksanaannya berbeza dengan perlaksanaan judi yang dilakukan di tempat-tempat perjudian dan tidaklah mengundang kepada perkelahian, akan tetapi ia merupakan salah satu cara untuk mendapatkan harta orang lain secara tidak sah. Cara seperti ini diharamkan oleh syara‘.

Penutup

Larangan berjudi sudah jelas disebutkan dalam ayat-ayat di atas. Kiranya Al-Qur’an Al-Karim telah mengharamkan arak dan judi itu, maka sudah tentu perkara itu besar bencananya kepada umat manusia, selain dari itu akal yang waras pun tiada menerima, kerana buruk kesannya pada ekonomi, kesihatan dan pergaulan manusia.

Oleh itu, sebelum melaksanakan sesuatu peraduan atau perlawanan pihak penganjur hendaklah memastikan bahawa peraduan atau perlawanan itu hendaklah bersih daripada unsur judi iaitu pertaruhan. Dengan menyediakan hadiah, samada yang disediakan oleh para penganjur sendiri atau yang ditaja oleh orang lain, tanpa membabitkan pengutipan wang daripada para peserta adalah cara untuk mengelakkan berlakunya permainan yang berunsurkan perjudian.

Masyarakat pula perlulah sentiasa peka sebelum menyertai mana-mana peraduan atau permainan. Ini kerana perjudian boleh saja berlaku dalam bentuk yang terselindung. Melalui penjelasan ini, masyarakat boleh menilai samada peraduan atau permainan yang dianjurkan oleh mana-mana pihak bersih daripada unsur perjudian.

3 thoughts on “Langkah 033 : Judi Senyap

  1. Salam.

    Azah.

    1. Sepertinya kte pernah baca penulisan tajuk ini dari blog awak.:)

    2. Erm, tak salah kan. Kalau kte mmg letakkan duit peruntukan untuk beli hadiah tersebut. Maksudnya, minta dari PIBG ke apa2 ke kan.

    3. Tulisan senget yang terlalu banyak. Jadi sakit mata nak baca. Hehe. Kalau di tegakkan dan jarak jauh sikit. BEST.🙂

  2. Salam akak.

    1. Oh yeke? Entah. Dulu pun pernah buat program yang hampir-hampir ada sistem judi. Mungkin ada tulis dalam 2 tahun yang lalu. Tapi lupa dah.

    2. Minta sumbangan, tiada masalah~

    3. Sengetkanlah kepala biar jadi lurus.😀
    Maaf. Kita tak sempat nak edit lah. Tepat hari ini kita akan mula sibuk kembali menghadap buku-buku yang sudah berdebu tu. Nanti lain kali ek… Syukran komen! ^_^

  3. Salam..

    Sekarang ni lagi macam2 jenis judi dalam sukan ada. Contohnya main futsal, team mana kalah kena bayar sewa court. Selepas ditanya kenapa nak kena bertaruh juga, dijawabnya baru bersungguh-sungguh main macam tuh.

    Hah, senang hati mereka judi senyap2..

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s