Langkah 035 : Sebatang Garfu Abah

Abah dan saya berborak sebentar semasa sarapan pagi. Sudah lama kami tidak bergurau senda. Kini, sudah dewasa. Ceritera dan nasihat makin serius dan berat intinya. Tidak macam kecil-kecil dulu, kita hanya makan gula-gula, berbual kisah-kisah lelucon yang menghiburkan.

Sedang seronok berbincang, Abah meninggalkan satu pesanan sebagai kesimpulan.

Didirikannya sebatang garfu secara menegak di atas meja, lalu diumpamankanlah garfu itu sebagai sebatang kayu.

Abah bertanya, “Andai dari timur ini ada sumber cahaya, di manakah bayangnya?”

“Tentulah barat”, saya menjawab.

Abah senyum.

“Anggaplah cahaya sebagai Allah, anggaplah bayang-bayang ini sebagai dunia… dan garfu sebagai manusia”, pesannya.

Kemudian, kami berfikir tentang perumpamaan ini untuk kami aplikasikan pengajarannya.

Masya-Allah. Benar, cantik analoginya.

Kalau kita mengejar cahaya, kita akan menghasilkan bayang-bayang yang lebih panjang. Sedangkan jika kita hanya mengejar bayang-bayang, kita akan semakin menjauhi cahaya dan hasilnya, bayang-bayang akan menjadi semakin pendek.

Begitulah ibarat manusia yang mendekatkan diri kepada Allah, dunia akan tunduk dan ‘mengekori kaki’nya. Tapi andai manusia itu lalai kerana ingin mengejar dunia, maka dunia itu akan meninggalkannya.

Ya, walaupun ramai orang yang mengejar dunia kaya-raya, tetapi hakikatnya keberkatan dalam nikmat itu tidak ada. Hasilnya, lebih banyak komplikasi yang timbul. Hati tidak tenteram, cerai-berai sana sini dan saling dengki mendengki.

KEGELAPAN

Baru-baru ini saya telah menonton video-video Debat Mualaf iaitu perdebatan antara golongan mualaf dan golongan murtad (paderi-paderi berbangsa Melayu) di Indonesia. Sungguh saya bersyukur pada saat ini kerana masih diberi nikmat taufiq dan hidayah.

Kembali kepada analogi, tidak mustahil akan berlakunya satu siatuasi di mana garfu itu dijauhkan daripada cahaya sejauh-jauhnya, sehinggalah imej garfu itu tidak lagi kelihatan disebabkan keadaan yang terlampau gelap gelita. Malah, bayang-bayangnya juga tidak wujud.

Analogi ini mungkin amat sesuai dengan golongan Naturalisme, Agnotiscisme dan Skepticisme yang sekeras-kerasnya membantah kewujudan Tuhan ATAU hanya memandang kepada materialistik semata ATAUPUN memilih untuk tidak meletakkan apa-apa pendirian dalam memilih agama.

Ya, saya pernah berdebat dengan seorang guru Bahasa Inggeris lima tahun yang lalu. Beliau yang menganut agama Hindu akhirnya menamatkan hujah beliau dengan berkata, “Nanti saya mahu jumpa itu Tuhan, dan menanyakan tentang agama. Saya mahu dia jelaskan kepada saya sejelas-jelasnya ketika itu juga. Saya hampa. Kenapa Tuhan tidak menonjolkan dirinya sekarang. Kepelbagaian agama ini telah menyebabkan kehancuran dunia!”, katanya.

Saya hormat pendirian itu. Tetapi, ianya seolah-olah menangguhkan pemilihan. Penangguhan ini akan menyebabkan pelbagai risiko yang perlu ditanggung, kerana dalam kondisi tidak percaya kepada apa-apa dan tidak bersedia di dunia, banyak kemungkinan yang boleh berlaku selepas MATI.

Saya percaya, Tuhan ada sebab disebalik tidak menonjolkan dirinya. Saya percaya, Tuhan juga ada sebab mengapa dia menciptakan saya, dan saya pasti, dunia ini diciptakan penuh masalah untuk MENGUJI saya!

Setiap kali teringat akan perdebatan ini, saya rasa sedih. Kerana hingga ke saat ini, saya masih tidak berjaya membuka hatinya menerima Islam. Walaupun beliau kagum dan percaya dengan sirah Nabi Muhammad, SAW, tetapi beliau masih tidak BERANI untuk melafazkan kalimah “Tiada Tuhan melainkan Allah”.

Benarlah, hidayah itu milik Allah. Kita hanya boleh membawa mereka ke pintu sahaja. Yang berkuasa membukakannya hanyalah Allah s.w.t.

Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah pertunjuk kepada sesiapa yang dikehendakkiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayah pertunjuk (kepada memeluk Islam). (Al-Qasas : 56)

Alhamdulillah atas nikmat Iman dan Islam yang dianugerahkan melalui keturunan. Saya berkata begini kerana saya dapat lihat masih ramai di luar sana yang tidak mendapat nikmat hidayah memandangkan kerja dakwah yang kurang aktif, maksiat dan cabaran-cabaran lain yang semakin menutup cahaya daripada sampai ke dalam hati mereka.

Semoga kita sama-sama dapat menjauhkan diri daripada kejahilan (kegelapan) dan membantah sekeras-kerasnya dengan agama Universal. Wallahua’lam.

“… Dan sesiapa yang mencari agama selain agama Islam, maka tidak akan diterima daripadanya dan dia pada hari akhirat kelak dari orang-orang yang rugi. (Surah 3: Al-i-‘Imran 83-85)”

6 thoughts on “Langkah 035 : Sebatang Garfu Abah

  1. “Sesiapa yang akhirat itu tujuan utamanya, maka Allah jadikan kekayaan dalam jiwanya. Allah mudahkan segala urusannya dan dunia akan datang kepadanya dengan hina (yakni dalam keadaan dirinya mulia). Sesiapa yang menjadikan dunia itu tujuan utamanya, maka Allah akan letakkan kefakirannya antara kedua matanya. Allah cerai-beraikan urusannya, dan dunia pula tidak datang kepadanya, melainkan dengan apa yang ditakdirkan untuknya (yakni dalam keadaan hina)” [HR Tirmidzi]

  2. Dan orang-orang yang kafir pula, amal-amal mereka adalah umpama riak sinaran panas di tanah rata yang disangkakannya air oleh orang yang dahaga, (lalu ia menuju ke arahnya) sehingga apabila ia datang ke tempat itu, tidak didapati sesuatu pun yang disangkanya itu (demikianlah keadaan orang kafir, tidak mendapat faedah dari amalnya sebagaimana yang disangkakannya) dan ia tetapi mendapati hukum Allah di sisi amalnya, lalu Allah menyempurnakan hitungan amalnya (serta membalas nya) dan (ingatlah) Allah Amat segera hitungan hisabNya.(An-Nur:39)

  3. subhanallah,

    tak pernah terfikir analogi yang awak dan ayah awak bincangkan.
    huhu~

    teringat kata2 seorang murabbi,
    bayang-bayang juga makhluk Allah, walaupun wujudnya tak sampai sesaat, dia masih senantiasa bertasbih memuji Allah, bayangkan dalam sejam ada berapa juta bayang-bayang berlainan yang sedang memuji Allah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s