Langkah 040 : Wanita Solehah

Rasulullah s.a.w. bersabda, “… Sesungguhnya dia adalah pemimpin wanita sepanjang masa.”

Bismillah. Assalamualaikum wa rahmatullahi wa barakaatuh, salam rindu buat para pembaca sekalian.

Pada hari ini sempena sambutan Hari Wanita, suka ingin saya kongsikan sesuatu mengenai tokoh wanita solehah yang amat saya segani, iaitu Fatimah Az-Zahara binti Muhammad. Walaupun baru secebis sirah mengenai tokoh ini yang baru saya baca, tetapi semangat untuk meneladani sifat wanita ini amatlah menebal dan sedang membara dalam diri saya.

Pemimpin wanita sepanjang zaman

Adalah sesuatu yang amat menyedihkan bagi saya yang pernah bersekolah di sekolah agama sejak tadika, apabila saya langsung tidak pernah mengetahui bahawasanya tokoh yang amat saya segani ini hanyalah hidup dalam tempoh yang amat pendek iaitu tidak sampai 28 tahun.

Mungkin kerana Fatimah Az-Zahara lebih banyak meluangkan masanya di dalam rumah sebagai seorang kanak-kanak, remaja dan ibu, maka tidak banyaklah sumber yang mendalami kehidupan rumah tangganya secara terperinci. Sungguh sayang, walhal perkara ini amatlah penting.

Kata ‘Fatimah’ berasal dari suku kata ‘Fathama’ yang berarti menyapih atau menghentikan atau menjauhkan. Sebuah riwayat marfu’ menyebutkan, dinamakan ‘Fatimah’ karena Allah Ta’ala menjamin menjauhkan putri bungsu Nabi SAW berikut seluruh keturunannya dari neraka. Riwayat ini diketengahkan oleh al Hafidz ad-Dimasyqi. Sementara riwayat versi an-Nasa’i menyebutkan bahwa Allah Ta’ala akan membebaskan Fatimah beserta orang-orang yang mencintainya dari neraka.

Fatimah juga disebut al-Battul yang berarti memisahkan, karena kenyataannya ia memang terpisah atau berbeda dari wanita-wanita lain sesamanya, baik dari segi keutamaan, agama dan kecantikannya. Ada yang mengatakan, karena ia memisahkan diri dari keduniaan untuk mendekat kepada Allah Ta’ala. [diambil dari blog atau boleh klik sumber internet di akhir artikel ini]

Fatimah Az-Zahra sangat terkenal di dunia Islam, kerana hidupnya paling dekat dan paling lama bersama Nabi Muhammad SAW. Dari dialah keturunan Nabi Muhammad berkembang yang tersebar di hampir semua negeri Islam. Di kalangan penganut syiah, dia dan Ali bin Abi Thalib dianggap sebagai ahlulbait (pewaris kepemimpinan) Nabi Muhammad SAW.

Fatimah dilahirkan di Makkah pada 20 Jumadil Akhir, 18 tahun sebelum Nabi Muhammad hijrah atau di tahun kelima dari kerasulannya. Tetapi ada banyak pendapat tentang tarikh kelahirannya samada 5 tahun sebelum atau selepas kerasulan nabi.

Dia adalah puteri bongsu Nabi Muhammad SAW setelah Zainab, Ruqayah dan Ummu Kaltsum. Abang-abangnya Qasim dan Abdullah, telah meninggal dunia pada usia muda.

Mengkaji tokoh ini membuatkan saya perlu terlebih dahulu mengkaji tokoh wanita yang turut disanjungi iaitu Saidatina Khadijah binti Khuwailid.

Alhamdulillah, buku yang ditulis oleh Rosline Harun ini banyak menyentuh latar belakang Saidatina Khadijah bersama Rasulullah s.a.w. semenjak kehidupan Khadijah sebelum berkahwin dengan Rasulullah sehinggalah ke peringkat di alam pernikahan, kisah Rasulullah diarah oleh Allah s.w.t supaya memisahkan diri daripada Khadijah selama 40 hari, saat-saat Khadijah hamil, melahirkan Fatimah dan menyusukan anaknya sendiri.

Lahirnya Fatimah sebagai anak perempuan Rasulullah telah menjadi contoh terbaik buat masyarakat Jahiliah yang ketika itu masih mengamalkan budaya menanam anak perempuan hidup-hidup dan mengharamkan penyusuan terhadap anak sendiri.

“Syurga rindu kepada empat orang wanita, iaitu Mariam binti Imran, Aisyah binti Muzahim (isteri Fir’aun), Khadijah binti Khuwailid dan Fatimah binti Muhammad” – riwayat Islam.

Suka saya jelaskan di sini mengapa saya telah memilih Fatimah Az-Zahara sebagai idola saya ialah kerana saya boleh melihat ketokohan beliau dalam memainkan peranannya sebagai seorang anak, seorang isteri, seorang pendidik dan seorang ibu.

DI USIA KANAK-KANAK

Beliau sempat menghadapi saat-saat perit umat Islam yang terpaksa menghadapi tempoh berlapar, dikutuk dan diseksa oleh masyarakat Arab Quraisy ketika dakwah baru mula disebarkan secara terang-terangan.

Lebih menyentuh hati saya ialah Fatimah Az-Zahara lah rupa-rupanya puteri yang sering menemani Rasulullah dalam saat kesedihan dan kesakitan baginda menghadapi tentangan yang hebat daripada orang-orang Quraisy setelah kematian Saidatina Khadijah, isterinya dan Abu Talib, bapa saudaranya.

Fatimah ketika di usia kanak-kanak, banyak mengalirkan air mata dan membantu serta melayani bapanya sehingga digelar sebagai Ummu Abiha (ibu dari ayahnya).

Fatimah Az-Zahara mempunyai sembilan nama di sisi Allah s.w.t. dan salah satunya ialah Az-Zahara. Menurut Abu Abdillah yang sumbernya saya dapat daripada buku tersebut, gelaran Az-Zahara diberikan kepadanya kerana beliau telah terhindar daripada kejahatan dan tiada yang sepadan dengan beliau di muka bumi ini melainkan Saidina Ali.

PERKAHWINAN

Ketika Fatimah hampir berumur 18 tahun, beliau telah dinikahkan oleh bapanya dengan harga mahar yang rendah. Rasulullah s.a.w bersabda, “Sebaik-baik wanita daripada umatku adalah yang maharnya paling sedikit”.

Berkongsi peringatan daripada seorang sahabat saya tentang masalah umat pada hari ini, katanya, “Jika ingin melihat bagaimana akhlak dan tamadun sesebuah masyarakat, lihatlah pada soal perkahwinan.”

Jelas sekali, pada hari ini, soal perkahwinan tidaklah diambil berat oleh masyarakat. Kenapa perlu berkahwin, bila boleh berkahwin, apa syarat-syarat nak kahwin, apa tanggungjawab selepas berkahwin dan sebagainya menjadi sesuatu yang amat dipandang remeh, malah terdapat banyaknya kefahaman yang salah mengenai perkahwinan sehingga menjadi suatu budaya. Hal ini memberi kesan kepada moral masyarakat terutamanya dalam kes penceraian, penzinaan, curang dan sebagainya yang semakin meningkat.

Perkahwinan antara Ali dan Fatimah merupakan contoh perkahwinan Islamik yang terbaik untuk dijadikan teladan dalam masyarakat hari ini. Pernikahan dijalankan dalam keadaan yang sederhana.

Walaupun kehidupan Ali terlalu miskin, namun persiapan walimatulurus masih lagi mampu ditanggung olehnya tanpa menggunakan harta Rasulullah s.a.w.  iaitu dengan menggunakan harta dari mahar. Rasululllah s.a.w. sengaja tidak mahu membeli keperluan pernikahan puteri kesayangannya dengan hartanya sendiri.

RUMAH TANGGA

Dari perkawinan Fatimah dan Ali, lahirlah Hassan dan Hussein. Keduanya terkenal sebagai tokoh yang terbunuh di Karbala. Tak lama kemudian lahir berturut-turut, Muhsin (gugur dalam kandungan) serta tiga orang puteri, Zaenab, Ummu Kaltsum, dan Ruqoyyah.

Fatimah terkenal dengan akhlak mulianya terhadap suami. Beliau tidak pernah keluar rumah tanpa izin suaminya dan amat pandai menguruskan rumah tangga.

Kehidupan rumah tangga Fatimah sangatlah sederhana, bahkan sering juga kekurangan. Beberapa kali dia terpaksa menggadaikan barang-barang keperluan rumah tangga mereka untuk membeli makanan, sampaikan Fatimah pernah menggadaikan rantainya yang diwarisi daripada Saidatina Khadijah, kepada seorang Yahudi Madinah untuk memenuhi keperluan rumah tangga mereka. Namun demikian, mereka tetap bahagia, lestari sebagai suami isteri sampai akhir hayat.

Dalam satu riwayat Jabir Al-Ansari bahawa Rasulullah s.a.w. telah melihat Fatimah sedang menggiling dengan kedua-dua tangannya sambil menyusukan anaknya. Ketika itulah Rasulullah s.a.w. telah mengalirkan air matanya.

“Anakku, engkau telah menyegerakan kepahitan dunia untuk mendapatkan kemanisan akhirat”, kata Rasulullah s.a.w. kepada puteri kesayangannya itu.

Banyak lagi kisah-kisah tentang ketabahan Fatimah dalam menjalankan amanah dan tanggungjawabnya sebagai seorang isteri dan ibu. Sehingga ada sebuah hadith yang menyarankan amalan bertasbih, bertahmid dan bertakbir sebanyak 33 kali setiap satunya juga ada menyentuh mengenai peristiwa kesusahan dan kepayahan yang dialami oleh Fatimah.

PENDIDIK

Fatimah amat pandai mendidik anak-anaknya. Rumah beliau juga pernah menjadi sebuah madrasah ilmu Islam dalam mendidik anak-anak umat Islam. Fatimah adalah pengurusnya sendiri, Ali pembantunya, Nabi Muhammad SAW pula pengawasnya.

Menurut buku ini, kaedah pendidikan yang digunakan dan disampaikan adalah daripada Allah s.w.t. Walaubagaimanapun, tidak ada cacatan sejarah yang menjelaskan dan menerangkan tentang kaedah pendidikan yang terbaik ini kerana beberapa sebab. Tetapi terdapat beberapa riwayat mengenai kaedah pendidikan Fatimah terhadap anak-anaknya ada dijelaskan di dalam buku ini.

WAFAT

Sewaktu Nabi Muhammad SAW sakit teruk menjelang kewafatan, Fatimah tidak berhenti menangis.

Nabi Muhammad SAW memanggilnya lalu berbisik kepadanya. Tangisannya semakin bertambah. Lalu Rasulullah SAW berbisik lagi dan dia pun tersenyum.

Kemudian hal tersebut ditanyakan Aisyah kepada Fatimah setelah wafatnya Rasulullah, dan dia menjawab bahawa dia menangis karena ayahnya memberitahu kepadanya bahawa tak lama lagi baginda akan meninggal dunia, akan tetapi dia tersenyum pada bisikan kedua kerana seperti kata ayahnya, dialah yang pertama akan berjumpa dengan Rasulullah di akhirat nanti.

Fatimah meninggal tidak sampai selang setahun dari ayahnya. Diriwayatkan dari Aisyah RA, “Fatimah wafat setelah enam bulan ayahnya, Rasulullah SAW, tepatnya pada hari Selasa bulan Ramadlan tahun 11 Hijriyah. Fatimah RA wafat dalam usia 28 tahun. Merasakan ajalnya sudah dekat, dia membersihkan dirinya, memakai pakaian yang terbaik, memakai wangian dibantu oleh iparnya, Asma bin Abi Thalib. Dia meninggal dengan satu pesan; hanya Ali, suaminya, yang boleh menyentuh tubuhnya.

Fatimah adalah seorang wanita yang agung, seorang ahli hukum Islam. Dia adalah tokoh wanita dalam bidang kemasyarakatan, orangnya sangat sabar dan bersahaja dan akhlaknya sangat mulia. Wallahua’lam.

P/s : Saya amat terhutang budi kepada pensyarah Mathematics II saya kerana telah menghadiahkan buku ini. Semoga akan berganda-gandalah pahalanya setelah ilmu yang bermanfaat ini telah dikongsikan kepada yang lain.

Rujukan buku : Siri Wanita Kharisma. Fatimah Az Zahara, Wanita Solehah Sinaran Zaman.

Rujukan internet : http://dheryudi.wordpress.com/2008/08/12/fatimah-az-zahra-ra-puteri-kesayangan-muhammad-saw/

Rujukan lain-lain adalah berdasarkan pengetahuan yang ada sebelum melakukan rujukan pertama dan kedua melalui pembacaan.

Saya akhiri dengan sambungan sabda nabi dari awal artikel ini;

“Wahai Ali, engkau adalah Imam kepada umatku dan penggantiku setelah ketiadaanku. Engkau adalah pemimpin orang-orang mukmin ke dalam syurga. Aku telah melihat puteriku, Fatimah telah datang pada hari kiamat di atas cahaya, di sebelah kanannya ada 70 000 malaikat, di sebelah kirinya ada 70 000 malaikat, di hadapannya ada 70 000 malaikat, dan di belakangnya ada 70 000 malaikat. Beliau memimpin wanita-wanita beriman daripada umatku. Maka, wanita-wanita yang melaksanakan solat lima waktu, berpuasa dalam bulan Ramadhan, mengerjakan haji, mengeluarkan zakat, mentaati suaminya dan menolong Ali setelah ketiadaanku, mereka akan masuk dengan syafaat puteriku, Fatimah. Sesungguhnya, dia adalah pemimpin wanita sepanjang masa.”

One thought on “Langkah 040 : Wanita Solehah

  1. Assalamualaikum..

    Mohon hati2, buku tersebut ada unsur2 Syiah.. sila buat laporan di jabatan agama berhampiran anda untuk semakan dan tindakan.. jazakillah khair

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s