Langkah 045 : Cabaran Remaja

Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khawatir terhadap (kesejahteraan) mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertakwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar. (An-Nisa’ : 9)

Walaupun ayat di atas menyebut tentang isu pengurusan anak yatim, namun perlu dilihat juga daripada sudut pandang lain. Apakah kita hendak meninggalkan anak-anak yang ‘lemah’ di barisan pengganti kita?

Lemah. Anda boleh gariskan kayu ukur bagi frasa ‘lemah’. Mungkin lemah yang dimaksudkan lemah dari segi kekayaan harta? Atau juga lemah dari segi kekayaan jiwa?

CABARAN

 “Dunia siber amat menakutkan!”

Ada benar kata pengerusi iluvislam.com ketika forum di Masjid SHAH UIA Gombak bersama Ustazah Siti Nor Bahyah dan suaminya.

Hujah beliau, lebih mudah kita mengakses Internet, lebih banyak kita boleh berkongsi, lebih cepat kita memperolehi sesuatu, lebih kecil dunia, lebih banyak cabaran!

Bak kata adik Mu’az Omar kita, “‎Orang yang mengikuti jalan dakwah dan tarbiyah pun masih terikat dengan gari gari dunia. Astaghfirullah.”.

Kini, ibu bapa dan anak-anak juga sudah berubah prinsip serta budaya hidup mereka mengikut peredaran zaman. Ya, arus globalisasi ini sungguh mendatangkan transformasi kritikal kepada cara hidup dan pemikiran kita.

Tiba-tiba, monolog kalbu terlintas… “Yang pening nanti, GURU.”

Diri tertawa seketika, bibir mengukir senyuman sendirian.

Teringat saya kepada episod kehidupan saya ketika telah mendaftarkan diri dengan selambanya sebagai guru ganti di Sekolah Menengah Islam Al-Amin Gombak. Motif utama, menyiasat, menyelidik serta memahami jiwa remaja. Secara terus terang, saya bersyukur dapat bersama dengan ‘adik-adik murid’ belajar dan mengajar, bertanyakan pendapat mereka dan menjawab persoalan mereka.

Saya amat terharu apabila dilayan seperti seorang guru dan kakak yang boleh dijadikan sebagai kawan. Saya juga terharu apabila dapat melibatkan diri dalam Hal Ehwal Murid, unit kaunseling sekolah, di samping pernah menggalas tanggungjawab sebagai guru kelas kepada para pelajar yang ‘hebat’ di sekolah itu.

Beres.

SAINS KEMANUSIAAN

Masya-Allah! 

Sedar atau buat tidak sedar.

Dalam 17 minit kita bermain facebook, berborak, bergelak tawa, belajar, bersiar-siar, menonong, memakan, tidur dan segala bagai, kita sebenarnya tak sedar! Rupanya kajian telah mendapati bahawa purata setiap 17 minit, akan lahirnya seorang anak luar nikah! Astaghfirullah hal azim!

Terdetik dalam hati, masyarakat kita perlukan lebih ramai lagi ahli sosiologi, kaunselor dan ahli agama.

Saya mula dengan keluh sedikit, tarik nafas dalam-dalam dan berbincang. Malam itu, saya dan rakan ada sembang-sembang jarak jauh tentang kes remaja. Kami studi kes dan mencari solusi untuk masalah sistem pendidikan keluarga pada hari ini.

Memang benar pada mulanya saya ada rasa terkilan apabila dikhabarkan tentang tingkah laku anak-anak murid saya. Sedih perasaan ibu bapa apabila mendapat laporan disiplin tentang akhlak anak-anak mereka di sekolah dan luar sekolah. Ibu mana, guru mana, kakak mana dan kawan mana yang tidak ada rasa tersinggung andai orang yang dipercayai atau ada pertalian kekeluargaan, sudah mula berjinak-jinak dengan perbuatan maksiat.

Tenangkan diri. Jangan cepat melatah. Jangan cepat marah. Renung-renung kembali.

Sebelum menuding jari kepada seseorang, pastikan muhasabah diri terlebih dahulu. Kekadang, ada benarnya masalah itu berpunca daripada diri kita sendiri, salahnya pada kita yang mendidik.

Saya beri satu contoh. Mungkin keluarga ini nampak baik dari segi aktiviti hariannya. Ibu bapa aktif berdakwah, hebat ceramah. Tapi anak mereka pula ‘hebat’ di sekolah! Kaki panjat pagar, gunting pagar untuk ke ‘cyber cafe’ mungkin?

Bagi pendapat ayah, dia sudah buat yang terbaik. Ibu pula, katanya, sudah beri kasih sayang sepenuhnya. Kakak dan abang merasakan diri mereka telah menjadi qudwah yang baik untuk adik-adik. Tapi tidak juga bagi seorang adik itu merasakan semua ahli keluarganya menyayangi dirinya. Kenapa?

Inilah remaja. Sensitif. Sentiasa merasakan dirinya terpinggir, belum cukup kasih sayang dan perhatian. Marah sedikit, menyepi semalaman. Di matanya hanyalah hiburan dan teman yang menghiburkan sehinggalah acuan identiti diri mereka itu sepenuhnya dibentuk oleh rakan dan persekitaran.

Larut.

Jangan hairanlah andai anak-anak yang mendapat tarbiah di rumah mahupun sekolah, turut boleh terlibat dalam kes-kes berat seperti dadah, buli dan zina.

Kerana masalah yang kita hadapi kini, sudah berada di luar jangkauan pemikiran kita. Tidak seperti dahulu lagi. Anak-anak zaman kini terpaksa bergelut dengan cabaran-cabaran yang sangat hebat.

Cerdiknya remaja dalam menipu tidak boleh dinafikan lagi. Cerdiknya remaja dalam berlakon, sudah banyak kali jadi cerita di kedai kopi. Hanya iman dan amal yang dapat menjauhkan mereka daripada dunia penuh maksiat.

Saya sebagai remaja juga, tidak lari dari masalah ini.

Kerana itu JIHAD yang paling besar ialah jihad melawan hawa nafsu diri!

Oleh itu, jika pendidikan di rumah masih seperti ibu-ibu dan ayah-ayah kita dahulu kala, mana tidaknya anak-anak kita akan mudah larut.

Serangan dari luar cukup hebat. Maka kita perlu membina tembok dan benteng yang lebih kukuh dan lebih hebat untuk menghadapi serangan luar!

Sayang seribu kali sayang, jika ada pula ibu bapa yang hanya menumpukan kasih sayang dan kebebasan dalam mendidik anak-anak di rumah. Agama letak tepi, serah pada guru untuk didik tentang agama dan pendidikan moral.

Apabila sudah terlanjur, kita mudah saja MENUDING JARI.

MENUDING JARI KEPADA MEREKA

“Degil! Degil!”, jerit seorang guru.

Hari-hari orang sama yang masuk bilik kaunseling. Hari-hari orang yang sama kena jumpa guru disiplin. Setiap kali ada kes baru, cikgu terus berpaling ke arah orang yang sama. Muka dia juga jadi suspek utama.

Ada satu kes yang menyayat hati saya, keluarga murid itu telah datang ke sekolah setelah dihubungi oleh guru disiplin. Setelah marah-marah dan soal siasat anaknya di hadapan guru, barulah mereka tahu sebenarnya anaknya itu memang tidak bersalah. Senang-senang saja remaja dihukum. Meskipun anak-anak itu belum dihukum secara fizikal, namun mental mereka yang sedang mencari identiti, sudah diganggu.

Kesannya, mereka akan merasakan bahawa diri mereka itu ‘jahat’. Persepsi guru-guru dan rakan-rakan juga telah berubah. Mereka merasakan bahawa orang ramai telah hilang kepercayaan terhadap diri mereka. Kerana malu, mereka mula memberontak. Ada saja yang mereka mahu buat untuk memarahkan orang lain. Nakal.

“Alang-alang sudah jadi separuh jahat, lebih baik jadi jahat terus”, mereka menganggap.

Keadaan menjadi lebih teruk apabila tiada siapa mahu membantu dan memahami diri mereka. Akhirnya, perkara yang selama ini tidak diingini berlaku, itulah yang akan berlaku! Nauzubillah.

Nampak? Salahnya pada gaya kita mendidik.

Seringkali perkara ini menjadi pengajaran pada saya, bahawa banyaknya tindakan yang kita laksanakan hari ini membidik hukum dari mendidik dalam hal penyelesaian.

Bukan dalam hal politik sahaja, tapi di segenap segi. Sedangkan yang berlaku sangat berulang-ulang, malah tidak ada penutupnya.

Katakan seorang anak membuat kesilapan, dia dihukum kerana kesilapannya dengan dipotong duit belanja. Walhal bukankah lebih baik kalau anak tersebut diberikan bonus jika tidak melakukan kesilapan yang sama, ataupun diberikan pengiktirafan yang baik?

Begitu juga di sekolah-sekolah. Buat silap, buang sekolah. Buang asrama. Selesaikah budak itu menjadi taat dan ‘dewasa’ ketika dia dibuang? Atau mampukah dia menemukan perubahan atas ‘buangan’ yang telah dilaksanakan sekolah?

Malangnya, ini adalah tabiat yang biasa kita sering laksanakan, turun-temurun.

Aduyai, alangkah baik jika kita mengambil pelajaran. –Seni Kehidupan.

Bagaimana mahu mendidik? Nantikan langkah seterusnya, MEMAHAMI JIWA REMAJA.

This entry was posted in Pelbagai. Bookmark the permalink.

One thought on “Langkah 045 : Cabaran Remaja

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s