Siapakah Penulis Muslim?

Firman Allah Ta’ala,

وَمَا خَلَقْتُ الْجِنَّ وَالْإِنْسَ إِلَّا لِيَعْبُدُونِ

(Adz-Zariyat : 56)

Bismillah. Semoga sentiasa berada dalam rahmatNya.

Tarawih Padang, UIA PJ

Tiada ruginya jika kita membuat keputusan bersama-Nya. Semoga jiwa kita sentiasa luas, tenang dan disinari cahaya iman.

Alhamdulillah, semalam saya telah memilih untuk menghadiri sebuah bengkel bertajuk “Future Muslim Writers Workshop”. Penceramah jemputan ialah saudara Hilal Asyraf dan Ustaz Mohamad Nizam Abd Kadir. Bertempat di Lecture Hall A, bengkel bermula pada 8.45 pagi sehingga 5.00 petang.

Skop bengkel ini tidak mengajar tentang teknik penulisan atau bagaimana ingin menulis seperti bengkel penulisan biasa yang diiklankan. Ternyata jauh sekali persepsi kami ketika itu.

Alhamdulillah bengkel ini telah banyak menyentuh persoalan penting iaitu bagaimana ingin menjadi seorang penulis muslim? Siapakah mereka penulis yang beragama Islam ini?

Ada 6 ciri yang telah digariskan oleh saudara Hilal Asyraf sebagai kayu ukur untuk melabelkan seorang penulis muslim itu benar-benar mencapai matlamatnya sebagai seorang penulis.

1. Ada hubungan dengan Allah dan sentiasa menjaganya.

2. Kerendahan hati dan menjaganya.

3. Islamik dan tarbawi seiring, tidak boleh tinggal salah satu.

4. Dahagakan ilmu dan mencarinya.

5. Disiplin dan bersungguh-sungguh di dalamnya.

6. Istiqomah dan terus menerus usaha mempertingkatkan diri.

Ada segelintir penulis Melayu yang ‘panas telinga’ atau merasakan bahawa bengkel ini bukanlah bengel penulisan untuk para penulis profesional. Namun begitu, harus diingat, sebuah menara yang tinggi memerlukan dasar ‘piling’ yang kedalamannya sama dalam atau lebih dalam daripada ketinggian menara yang dibina.

Bermakna, perkara asas iaitu agama yang perlu ada pada seorang penulis yang beragama Islam itu perlu kukuh dan semakin kukuh.

Bab 1 : Ada hubungan dengan Allah dan sentiasa menjaganya.

Seperti dalil yang pertama, sebagai orang Islam, kita sepatutnya jelas dengan matlamat hidup iaitu beribadah kepada Allah.

Menulis ialah sebuah ibadah dan setiap ibadah hendaklah dilakukan dengan bersungguh-sungguh dan ikhlas.

Oleh itu seorang penulis tidak boleh tidak, perlu ada hubungan dengan Allah s.w.t. dan sentiasa menjaga imannya.

Allah sebagai Al-Khalik, maka selain dari itu, tidak lain lagi ialah makhlukNya. Sebagai manusia, kita merupakan makhluk yang sangat kerdil. Mentaati segala perintah Allah s.w.t. itu penting, maka perlulah kita kekal dalam batasan syara’, ikhlas mengerjakan ibadah, tidak mencampurkan urusan kita dengan sesuatu yang Allah larang dan tidak menjadikan apa yang Allah larang itu sebagai sesuatu yang baik.

Namun harus diingati bahawa seorang penulis tidak semestinya perlu sempurna dalam semua aspek tanpa ada cacat cela. Konsep dakwah ialah orang yang kurang sempurna mengajak orang yang kurang sempurna  kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.

Sesungguhnya apa yang kita tuliskan itu tidak boleh sampai ke dalam hati-hati pembaca tanpa adanya bantuan Allah swt. Kita tidak mampu memberikan hidayah kepada orang yang paling kita sayang.

2 : Kerendahan hati dan menjaganya.

Sebagai seorang penulis muslim, menghadapi perubahan niat seperti menulis untuk mengejar populariti, pujian dan kekayaan semata sudah menjadi topik biasa yang diperkatakan.

Jiwa penulis sama seperti insan biasa, akan ada medan pertempuran, akan ada suntikan-suntikan ‘virus’ riak, ujub, takabbur oleh syaitan. Maka, seorang penulis muslim hendaklah teguh dengan prinsip, tetap dengan matlamat, memiliki sifat kerendahan hati dan sentiasa menjaganya. Namun begitu, hati tidak boleh direndah-rendahkan.

Karya mencerminkan peribadi penulis. Jika penulis tidak menjaga sifat kerendahan hatinya, maka bukan syakhsiahnya sahaja akan rosak, malah penulisannya juga. Hal ini sangat berbahaya kerana penulis akan menyebarkan ‘virus’nya kepada masyarakat.

Dr Majidi Al-Hilali ada mengatakan bahawa manusia diciptakan dari 2 unsur iaitu langit dan bumi. Kita perlu ada keseimbangan, menjaga jasmani dan rohani, duniawi dan ukhrawi.

Jika penulis inginkan populariti, maka mereka akan menyuap masyarakat dengan apa yang mereka nak, bukan apa yang mereka perlu.

Rukun amal Islami; 1. Mengikut syara’ dan berkembang 2. Ikhlas 3. Membangunkan masyarakat 4. Meruntuhkan jahiliah. Apakah penulisan kita itu mengikut rukun Islami?

Bab 3 : Islamik dan tarbawi seiring, tidak boleh tinggal salah satu.

Banyak lambakan karya islami kini yang hanya ber’salut’kan Islam.

Adakah mereka menyampaikan Islam yang sebenar? Bagaimana karya mereka mendidik masyarakat? Adakah hanya ada unsur Islamik namun menyimpang dari aspek tarbawi? Atau sebaliknya?

Unsur Islamik : unsur yang bercirikan Islam dari fizikal, menggunakan istilah-istilah islamik, mengenakan watak-watak yang memakai purdah, jilbab dan sebagainya.

Unsur Tarbawi : ada tarbiyah, mendidik dan bukan maklumat semata. Tarbawi menjelaskan fakta.

Apabila karya Islamik tidak bersifat tarbawi, maka fitnah dan kekeliruan akan berlaku. Hal ini sering terjadi tidak kiralah dalam dunia penulisan mahupun dunia perfileman. Jangan jadi ‘cermin gelap’ yang tidak memberi efek kepada orang lain.

Karya tarbawi yang tidak Islamik pula menjadikan penulis tidak kembalikan para pembaca mereka kepada Allah. Mereka mendidik masyarakat dengan akhlak yang baik dan sebagainya namun tidak disentuh langsung mengenai aqidah.

Tambahan : Penulisan haruslah kemas, jelas dan jauh dari kekeliruan atau salah faham.

Ada drama yang memamparkan sepotong maksud ayat Al-Quran di awal dan akhir drama namun pengisian drama itu menceritakan tentang kisah pensyirikan kepada Allah. Adalah sesuatu yang kurang wajar bagi penulis mendedahkan tentang jahiliah sedangkan masyarakat kini perlukan lebih banyak pendedahan tentang agama, aqidah, ibadah, ukhuwah dan sebagainya.

Lebih mengecewakan lagi apabila ada penulis yang bersikap lepas tangan dengan mengatakan, “saya biarkan masyarakat menilai sendiri”, sedangkan masyarakat kita sedang lemah dan memerlukan bimbingan.

Penulis muslim juga tidak akan menulis apa yang Allah larang dan akan cuba menjauhi dari apa yang Allah larang.

Hal ini tidak bermaksud tidak boleh ada unsur jahat atau watak antagonis dalam penulisan. Konflik itu penting. Tetapi adalah lebih baik jika watak protagonis itu mendominasi penulisan berbanding dengan watak antagonis. Sifat-sifat buruk dan konflik yang berlaku perlu di’counter’ semula bagi menjelaskan kefahaman pembaca tentang baik dan buruknya sesuatu.

4 : Dahagakan ilmu dan mencarinya.

Jangan jadi penulis yang suka menulis tetapi tidak suka membaca. Manusia yang tidak ada apa-apa tidak boleh memberi.

Tips : Minat, membaca, memerhati kehidupan, peka, belajar dari jahiliyyah. Perlu ada ilmu, tahu kelebihan, teknik, konsep dan idea tentang sesuatu.

Cuba memberi kepada masyarakat apa yang mereka perlukan dan jangan takut andai penulisan kita itu tidak ada unsur-unsur yang mempopularkan kerana boleh jadi suatu zaman akan datang, bila Islam akan berkembang dan bangkit, mereka perlu merujuk penulisan-penulisan kita malah menghargainya.

5. Disiplin dan bersungguh-sungguh di dalamnya.

Jangan kerana menulis kita tercicir dalam urusan lain, perlu tawazun. Buang persepsi bahawa seorang penulis itu akan terperuk di dalam bilik.

Tips disiplin : Membuat jadual. Sedangkan bumi dan segala isi alam ada jadual mereka tersendiri yang Allah tetapkan dalam sunnatullah, begitu juga manusia, mereka perlukan jadual untuk mengelakkan daripada membuang masa.

Menulis lepas Subuh.

6 : Istiqomah dan terus menerus usaha mempertingkatkan diri.

Tahu kepentingan menulis dan bersungguh-sungguh dalam dunia penulisan. Kerapkan menulis. Jangan berhenti melangkah. Istiqomah tidak bersifat mendatar tetapi meningkat dan semakin meningkat.

p/s : Ada beberapa isi yang mungkin dirasakan tidak penting, biasa dah dengar tapi saja dikongsikan di sini agar kita semua mendapat peringatan dan mengukuhkan akar yang paling dalam sekali. Selamat menulis!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s