HUKUM MELAUNGKAN TAKBIR BERAMAI-RAMAI

Takbir yang dimaksudkan di sini adalah laungan “Allahu Akbar” yang dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua dengan ucapan ‘takbiiir!”. Ia kini seolah-olah menjadi satu trend baru yang lazimnya dilakukan ketika dalam ceramah atau perhimpunan yang berkait dengan Agama.

Sekiranya diamati, akan didapati bahawa perbuatan ini bercanggah dengan Syarak. Ini kerana ucapan ‘Allahu Akbar’ adalah termasuk dalam ibadah zikir yang terikat dengan garis panduan dan adab-adab berzikir yang telah ditetapkan Syarak.

Percanggahan-percanggahan ini dapat dilihat daripada beberapa sudut:

1.     Ia dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai ketika diarahkan oleh si ketua walhal Syarak menetapkan bahwa zikir hendaklah dilakukan dengan suara perlahan dan bersendirian tanpa arahan sesiapa.

2.     Cara seperti ini menyalahi matlamat utama berzikir yang bertujuan untuk menimbulkan rasa rendah diri, patuh dan tunduk kepada suruhan Allah di samping mewujudkan perasaan takut atas kekurangan diri serta merasai keagongan Allah dan kehebatanNya. Kebiasaannya mereka yang melaungkan takbir secara kuat apatah lagi menjerit akan merasa diri kuat dan bertenaga jauh sekali daripada perasaan takut.

Bahkan kalau diamati, ia sememangnya bertujuan untuk menimbulkan perasaan berani dan merasa diri hebat khususnya dalam ceramah atau perhimpunan yang bertujuan untuk membantah atau mengkritik pihak-pihak tertentu. Hal ini bercanggah dengan sifat orang mukmin, “Sesungguhnya orang yang beriman apabila disebut nama Allah gementarlah hati mereka” (Al-Anfaal, 2) dan firmanNya, “Orang-orang beriman tenang tenteram hati mereka dengan berzikir kepada Allah” (Al-Ra’ad, 28). Bukan merasa gemuruh dan resah.

3.     Perbuatan ini lebih hampir kepada riyak serta menunjuk-nunjuk. Jika tidak, apa perlunya dilaungkan secara kuat dan beramai-ramai. Kepada siapakah laungan ‘Allahu Akbar’ ditujukan? Apakah ia bertujuan untuk menguatkan keyakinan bahawa ‘Allah itu Maha Besar’ atau terdapat tujuan lain di sebaliknya?

4.     Apa yang pasti ia adalah ibadah dalam bentuk gaya baru yang tidak ada contohnya daripada Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, para Sahabat radhiyallahu ‘anhum dan generasi Salaf Al-Soleh. Bahkan tidak ada seorang pun ulamak muktabar dahulu yang menganjurkannya.

Dalam suatu peristiwa ketika Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam bersama para Sahabat dalam perjalanan ke medan perang, mereka bertakbir secara kuat (ketika naik ke tempat tinggi sebagaimana yang dianjur dalam Sunnah) lalu Baginda bersabda, “Wahai manusia, berpadalah pada diri kamu, sungguh kamu tidak menyeru kepada Tuhan yang pekak mahupun jauh; sebaliknya kamu berdoa kepada Tuhan yang Maha Mendengar lagi Maha Melihat” (Bukhari dan Muslim).

Walaupun dalam keadaan bersemangat menuju ke medan perang beramai-ramai bersama Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, tetapi Baginda tetap menegur perbuatan mereka melaungkan takbir secara kuat walaupun ia dilakukan secara berasingan dan secara individu, dan atas sebab yang syarie. Bagaimana pula sekiranya takbir dilaungkan secara kuat dan keras secara beramai-ramai tanpa sebarang sebab yang syarie?

Lebih buruk kalau ia dilakukan dalam ceramah politik yang penuh dengan maki hamun mengajak kepada parti dan kumpulan masing-masing, memecah-belahkan Umat Islam serta mengajak kepada revolusi menjatuhkan pemerintah Islam. Jelas ia lebih tercela.

5.     Kesimpulannya, perbuatan melaungkan ‘Allahu Akbar’ secara beramai-ramai bercanggah dengan Syarak dan termasuk dalam larangan Baginda sallallahu ‘alaihi wasallam, “Barangsiapa melakukan suatu amalan yang tidak ada perintahnya daripada kami maka ia adalah tertolak” (Bukhari dan Muslim).

 Sumber : http://ustazidrissulaiman.wordpress.com/2013/04/10/adab-adab-berzikir-hukum-melaungkan-takbir-beramai-ramai/

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s